AKADEMI PKNS MEMBANGUN MODAL INSAN

b689fad0280b286c898256c8d3b6ee9e_L
Kuliah Bulanan Mei 2016
30/05/2016
Personaliti Minggu Ini : Mohd Khairol Zaman Bin Hamir Akhbar
31/05/2016
Lihat semua

d7a332411e14769f300879cf8b1d4da6_L

Dalam tahun keenam sejak penubuhannya pada 2010, Akademi PKNS, yang juga merupakan Pusat Latihan kepada PKNS, telah menawarkan pelbagai program atau latihan dalam bentuk kursus dalaman, program, seminar awam, pembangunan akademik dan kemahiran, Program Pembangunan Profesional serta khidmat konsultansi yang kini aktif dijalankan. Sebagai sebuah syarikat yang tidak berorientasikan keuntungan, Akademi berada di landasan tepat dalam mencapai objektif kewujudannya.

Pemangku Pengurus Besar Akademi PKNS, Haji Idris Ishak berkata Akademi PKNS menjalin kerjasama dengan beberapa institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara bagi menggalakkan pembelajaran secara berterusan terutama kepada anggota PKNS dalam memaju dan memperkembangkan diri.

Antara institusi pengajian itu termasuk UNITAR International University (UNITAR), Open University Malaysia (OUM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), International Professional Managers Association (IPMA), UK dan English Learning Group Limited, UK.

Menurut Haji Idris, PKNS menawarkan Hadiah Pendidikan sebanyak RM1 juta setahun dengan menanggung sepenuhnya yuran pengajian kepada anggota PKNS yang layak bagi melanjutkan pelajaran di bawah program-program yang ditawarkan oleh Akademi PKNS sahaja.

Pada masa ini UNITAR dan OUM merupakan rakan strategik dengan menjadikan Akademi PKNS sebagai pusat pembelajaran yang diiktiraf bagi menjalankan program pengajian berkenaan.

PKNS dengan bantuan Akademi PKNS kini menaja seramai 68 anggota yang melanjutkan pelajaran di kedua-dua universiti itu. Daripada jumlah itu, 23 orang sedang mengikuti program Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan manakala 12 orang lagi dalam program Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan di UNITAR. Terbaru, seramai 14 orang anggota PKNS akan memulakan pengajian dalam program Ijazah Sarjana Pengurusan di UNITAR. Sementara itu, seramai 22 dan lima anggota lagi, masing-masing sedang menjalani program Ijazah Sarjana Muda Pemasaran dan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di OUM. Pada masa yang sama, seramai 5 orang anggota sedang mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Projek dan Pengurusan Fasiliti di OUM.

Menurut Haji Idris, Akademi PKNS juga telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Pelajaran Malaysia untuk menjadi Pusat Pengajian Wilayah UNITAR bagi menjalankan program Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan Sarjana Pengurusan (Masters in Management) kerjasama dengan UNITAR di premis Akademi PKNS sendiri.
Dengan kelulusan itu, Akademi PKNS boleh menawarkan program-program pembelajaran itu kepada orang awam. “Kami sedang berbincang dengan UNITAR. Sekiranya semua berjalan lancar, program-program pembelajaran untuk orang awam dijangka akan bermula dalam September tahun ini,” tambah beliau.

Beliau juga berkata Akademi akan menjalankan beberapa lagi program di bawah tajaan PKNS dan antaranya adalah Program Diploma Pengurusan dan Ijazah Kedoktoran Pentadbiran Perniagaan.

Di samping itu, Akademi PKNS sedang berusaha untuk mengadakan kolaborasi dengan institusi pengajian tinggi lain di masa akan datang.

Penyedia Perkhidmatan

Sebagai sebuah syarikat milik penuh PKNS, Akademi PKNS terus mengukuhkan statusnya sebagai salah sebuah Penyedia Latihan Kelas A yang berdaftar dengan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Sementara itu, dalam menyahut seruan PKNS supaya anak syarikatnya dipacu ke arah kecemerlangan, Akademi PKNS telah mengembangkan cabangnya dalam menerokai peluang-peluang yang wujud di sektor perkhidmatan.

Akademi PKNS telah dilantik oleh PKNS sebagai operator di Menara PKNS-PJ Seminar & Conference Centre (MPSCC) secara rasmi mulai 1 Mei 2014, beralamat di Menara PKNS Petaling Jaya yang sebelum ini dikendalikan oleh salah sebuah hotel terkenal di Malaysia.

MPSCC menawarkan perkhidmaran sewaan dengan tawaran pakej yang amat menarik kepada organisasi awam, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam.

Antara pakej sewaan dengan kadar yang berpatutan yang ditawarkan adalah sewaan bilik untuk seminar, kursus, mesyuarat dan peperiksaan, dan juga sewaan dewan bagi sambutan majlis perkahwinan, makan malam, hari jadi, majlis persendirian tertutup dan buka puasa.

Haji Idris berkata MPSCC telah menerima banyak tempahan, terutamanya dari pihak-pihak swasta sejak bulan April tahun lalu. Dengan sambutan yang menggalakkan, Haji Idris menganggarkan perolehan tahunan akan menjadi penyumbang utama kepada perolehan Akademi PKNS.

“Kalau kita hanya menjadi pengurus program menumpang di premis orang lain kita tidak akan maju. Mempunyai premis sendiri menjadikan kita lebih mempunyai nilai tambah. Hari ini, Akademi PKNS sudah melalui satu evolusi daripada pengurus program (program manager) kepada penyedia perkhidmatan (service provider),” katanya.

Menurut beliau, PKNS-PJ SCC berpotensi tinggi kerana ianya terletak secara strategik di antara pusat komersil terbaik di Petaling Jaya dan mudah dikunjungi ke kawasan membeli-belah, bank, pejabat pos, hotel dan lebuhraya. Peralatan moden dan terkini termasuk perkhidmatan internet secara percuma disediakan kepada pelanggan-pelanggan yang mengambil mana-mana pakej yang ditawarkan.

Peranan Akademi

Peranan yang dimainkan oleh Akademi tidak hanya terarah kepada pembangunan modal insan untuk anggota PKNS sahaja, malahan kepada Kumpulan PKNS, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) serta agensi awam dan syarikat korporat. Akademi telah banyak menjalankan program dan khidmat perundingan kepada PKEN yang lain, antaranya Sabah Economic Development Corporation (SEDCO), Perbadanan Memajukan Iktisad Ekonomi Negeri Terengganu (PMINT) dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs).
Bahkan, Akademi telah mengetengahkan beberapa orang pegawai PKNS sebagai konsultan dalam menjayakan aktiviti-aktiviti perundingannya. Ini merupakan tanda positif bahawa peranan Akademi tidak hanya terbatas setakat menganjurkan program atau acara sahaja, malahan melahirkan pakar rujuk yang berpengalaman dalam pelbagai bidang. Antara khidmat perundingan yang dijalankan oleh Akademi ialah Pelan Perancangan Strategik, Analisa Keperluan Latihan, Penilaian dan Pengurusan Bakat, Pembangunan Prosedur Operasi Kerja dan macam-macam lagi.

Masa Hadapan

Dalam tempoh beberapa tahun akan datang, Akademi bermatlamat untuk muncul sebagai sebuah entiti yang disegani dan berperanan sebagai Pusat Pembangunan Kepimpinan (Leadership Developement Centre) yang melahirkan ramai pemimpin korporat berkaliber, berprestasi tinggi, berorientasikan pencapaian dan kompeten seterusnya berupaya membawa PKNS khususnya ke paradigma baru dan negara secara amnya.

Akademi juga ingin berperanan sebagai “Resource Centre” yang mengumpul, menganalisa, memelihara, mendokumentasi dan menyebarkan segala maklumat dan kajian-kajian yang telah dihasilkan dalam pelbagai bidang bagi menjadikan PKNS lebih berdaya saing pada masa hadapan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *