Datuk Bandar, Pegawai Daerah & YDP PBT Lawat PKNS

Perkongsian
07/04/2017
Kuliah Dhuha 14 April 2017
13/04/2017
Lihat semua

Datuk Bandar, Pegawai Daerah dan Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri Selangor semalam berkumpul di Laman PKNS pada Majlis Sepetang Bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Hjh. Noraida Mohd Yusof dan Ahli-Ahli Pengurusan PKNS meraikan kehadiran mereka di Laman PKNS, ibu pejabat korporat baharu perbadanan itu yang dianggap mercu tanda baharu di bandar raya Shah Alam.

Hjh. Noraida dalam ucapan alu-aluannya berkata peranan yang telah dimainkan oleh agensi-agensi dan jabatan kerajaan termasuk PBT sangat besar hingga membolehkan PKNS terus menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat negeri Selangor sepanjang penglibatan perbadanan itu dalam sektor pembangunan hartanah sejak 53 tahun lalu.

lawatan

“Tanpa sokongan yang berterusan, tanpa teguran yang membina, tidak mungkin kami dapat merealisasikan pembangunan perumahan yang berkualiti seterusnya memenuhi aspirasi stakeholder  di negeri ini. Terima kasih saya ucapkan atas sokongan dan kerjasama padu yang telah ditunjukkan dan saya sangat berharap agar persefahaman ini akan terus diharmonikan bagi manfaat rakyat negeri Selangor seluruhnya,” katanya.

Beliau berharap dengan kerjasama erat yang terjalin itu akan dapat menjayakan matlamat bersama untuk sama-sama membangunkan negeri Selangor yang mana pada tahun ini PKNS menyasarkan untuk membina sejumlah 1,157 unit hartanah menerusi 12 projek di lapan lokasi di negeri Selangor iaitu Kota Damansara, Rasa, Kota Puteri, Bernam Jaya, Antara Gapi, Shah Alam, Kuala Selangor dan Selangor Cyber Valley.

Tambahnya, PKNS sebagai agensi pemaju hartanah yang bertanggungjawab akan memastikan segala proses yang berkaitan dalam penyediaan perumahan yang berkualiti untuk rakyat dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Laman PKNS mengguna pakai Indeks Bangunan Hijau (GBI) yang telah berjaya meraih Platinum Design Assessment of Green Building Index untuk kategori pejabat. Laman PKNS turut menerima anugerah The Development Award 2013 dari Asia Pasific Property Award 2013-2014 oleh International Property Media of United Kingdom. Konsep yang diketengahkan menggabungkan ciri-ciri mesra pengguna malahan mesra alam sekitar menerusi penggunaan kadar tenaga yang rendah dan efektif.

Sementara itu delegasi yang hadir diberikan taklimat Pembangunan Laman PKNS sebelum dibawa melawat ke sekitar Laman PKNS termasuk surau, rooftop garden, taska, perpustakaan, one stop centre dan lobi utama.

Comments are closed.