Hari Wanita PKNS 2017 Meriah

Kuliah Duha 10 Mac 2017
09/03/2017
Hari Wanita PKNS 2017
13/03/2017
Lihat semua

PKNS buat julung kalinya mengadakan Hari Wanita PKNS 2017 #beboldforchange kelmarin yang mendapat sambutan menggalakkan apabila disertai hampir 300 orang peserta yang terdiri daripada anggota wanita PKNS dan pasangan mereka.

Lebih istimewa lagi, program yang diadakan sempena sambutan Hari Wanita Sedunia itu dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Hjh. Noraida Hj Mohd Yusof yang hadir bersama Ahli-ahli Pengurusan PKNS.

Program bermula dengan sesi senamrobik di Laman PKNS sebelum diteruskan dengan acara Fun Walk di sekitar Tasik Shah Alam yang berhampiran dengan Ibu Pejabat Korporat PKNS, sebelum Fun Walk ke Kompleks PKNS Shah Alam untuk majlis perasmian program berkenaan.

Ketika berucap merasmikan program itu, Hjh. Noraida berkata program itu diadakan sebagai tanda penghargaan kepada seluruh peringkat anggota wanita yang menjadi tulang belakang kepada PKNS usianya telah mencapai 53 tahun.

DSC_5889

Katanya, anggota wanita di PKNS mewakili 38 peratus daripada jumlah keseluruhan anggota manakala 5 daripada 10 orang Ahli-ahli Pengurusan PKNS adalah wanita.

“Anggota wanita di PKNS telah memainkan peranan penting dalam menjayakan visi dan misi PKNS seterusnya menjadi kekuatan kepada bahagian-bahagian dan unit-unit di PKNS.

“Pepatah ada menyebut “tangan yang menghayun buaian itu mampu menggoncang dunia”. Ini dibuktikan oleh survey yang dibuat oleh World Economic Forum di mana di dalam sesebuah organisasi jika pengurusan kanannya mempunyai 3 atau lebih wanita maka organisasi tersebut lebih berjaya. Wanita dilihat mampu menjalankan tugas dengan lebih baik kerana umumnya mereka mempunyai wawasan dan kebijaksanaan emosi yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata, PKNS telah lama memperkasakan wanita di mana keupayaan dan kemahiran mereka diangkat setara dengan anggota lelaki daripada segi peluang golongan wanita menjawat jawatan tertinggi mahupun sebagai pegawai-pegawai kanan.

PKNS juga katanya, tidak ketinggalan mengadakan kursus dan latihan bagi pemerkasaan wanita, begitu juga dalam memastikan kebajikan mereka terjaga. Antara kemudahan khas yang disediakan ialah waktu kerja anjal, cuti bersalin bergaji penuh sehingga 3 bulan, menyediakan bilik laktasi atau penyusuan dan taska di tempat kerja selain pemeriksaan kesihatan mengikut peringkat umur.

Bersempena Hari Wanita PKNS 2017 ini, anak syarikat PKNS yang menguruskan pusat beli-belah milik PKNS iaitu PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) turut mengadakan pelbagai aktiviti di Kompleks PKNS Shah Alam antaranya jualan ‘food truck’, photo booth, ruang permainan kanak-kanak selain gerai-gerai jualan daripada peniaga wanita di sekitar Selangor yang antaranya adalah usahawan yang telah berdaftar dengan Bahagian Pembangunan Usahawan PKNS dan golongan asnaf.

Comments are closed.