Jalinan Kasih Bersama Orang Asli

pelanggan-maybank
Majlis Ramah Mesra Bersama Pelanggan Maybank
09/08/2017
Perkongsian Ogos
11/08/2017
Lihat semua
jalinan-bersama-orang-asli

jalinan-orang-asli

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera,

Yang Berbahagia  Tuan Haji Shahir Bin Makhtar

Pengarah Pembangunan Sosial MAIS Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Penyelarasan Program Jalinan Kasih Orang Asli Negeri Selangor

Ahli-Ahli Jawatankuasa Pengurusan Wang Zakat PKNS,

Para pegawai dan barisan sukarelawan dari Persatuan Kebajikan dan Pengurusan Islam Orang Asli Selangor, Para pegawai PKNS,

Yang diraikan para pelajar dan guru-guru pengiring daripada Sekolah Kebangsaan Bukit Bangkong, Sungai Pelek,

Rakan-rakan media,

Seterusnya hadirin yang dihormati sekalian,

 

  1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan ke hadrat ilahi kerana dengan izin dan limpah rahmatNya, dapat kita hadir bagi menyaksikan Majlis Jalinan Kasih Bersama Kanak-kanak Orang Asli Negeri Selangor dan Sumbangan CSR PKNS pada pagi ini.
  1. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Berbahagia Tuan Haji Shahir Bin Makhtar dan juga delegasi daripada Majlis Agama Islam Negeri Selangor (MAIS) yang sudi menerima dan mengalu-alukan kedatangan kami untuk bersama-sama dengan tuan/puan pada hari ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

  1. Sejak penubuhan PKNS 53 tahun dahulu, kami terus komited dalam membantu peningkatan ekonomi negeri dari aspek pembangunan fizikal. Seiring dengan misi bagi memperjuangkan kemajuan untuk rakyat, PKNS juga memainkan peranan dalam membina komuniti di kalangan warga Selangor dan salah satu inisiatif kami adalah dengan pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat menerusi pengagihan semula wang zakat PKNS selain untuk berkongsi keuntungan kami bersama masyarakat.
  1. Untuk makluman hadirin sekalian, program tanggungjawab sosial korporat ini merupakan program tahunan yang menjadi kewajipan kepada PKNS sebagai satu usaha untuk memupuk nilai-nilai murni dan meraikan ukhuwah antara PKNS dan badan kerajaan serta masyarakat secara umumnya.
  1. PKNS mengambil inisiatif untuk mengagihkan semula wang zakat perniagaan berjumlah RM50,000 kepada MAIS dengan hasrat agar peruntukan ini dapat digunakan bagi menjana pelaksanaan program-program pembangunan Muallaf di negeri Selangor.
  1. Saya yakin pihak MAIS mampu untuk membantu PKNS menyalurkan sumbangan wang zakat bagi kategori asnaf Muallaf yang memerlukan bantuan dan sokongan dari segi kewangan, pendidikan mahupun pembangunan insan.
  1. Saya difahamkan melalui keseluruhan sumbangan yang kami sampaikan ini, pihak MAIS telah membahagikan peruntukan ini kepada beberapa program yang menyeluruh terhadap peningkatan taraf hidup masyarakat Orang Asli Selangor meliputi pembangunan jati diri kanak-kanak, peningkatan sahsiah diri remaja dan pembangunan kekeluargaan.

Hadirin sekalian,

  1. Kami juga sangat berbesar hati dengan kerjasama erat yang diberikan oleh pihak MAIS dalam membantu kami untuk menguruskan aktiviti berkaitan pengagihan wang zakat di bawah kategori asnaf muallaf, di mana bantuan ini telah disalurkan melalui beberapa program sejak dari tahun 2014 iaitu sumbangan sebanyak RM75,000 bagi Program Pembangunan Muallaf. Kemudian pada tahun 2015 sebanyak RM60,000 disumbangkan bagi Program Baik Pulih Surau Kampung Orang Asli dan diikuti pada tahun 2016 iaitu sebanyak RM50,000 bagi penganjuran Majlis Iftar Jama’ie bersama masyarakat Orang Asli.
  1. PKNS melihat Program Menggapai Bintang yang dilaksanakan pada hari ini sebagai satu platform yang sangat bermanfaat di mana pendedahan kanak-kanak ini terhadap industri pekerjaan dapat meningkatkan motivasi mereka untuk belajar dengan lebih bersungguh bagi mencapai cita-cita di samping mendidik mereka untuk mencipta impian di masa hadapan. Kejayaan pastinya bermula dengan impian dan hari ini kita menyediakan jalan bagi mereka untuk maju selangkah ke hadapan bagi menggapai impian.
  1. Saya berharap agar adik-adik dari Sekolah Kebangsaan Bukit Bangkong ini dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan untuk menggilap bakat dan minat adik-adik untuk memilih karier yang bersesuaian. Ingatlah peranan adik-adik yang menjadi harapan untuk membawa perubahan kepada keluarga yang inginkan adik-adik berjaya di masa hadapan dan dapatlah membalas jasa ibu bapa yang menjaga dan mendidik sejak dari kecil lagi.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

  1. Untuk makluman, pada tahun ini sahaja, PKNS akan mengagihkan semula wang zakat berjumlah RM1.8 juta bagi program CSR untuk asnaf fakir dan miskin, muallaf, fisabilillah dan gharimin. Di PKNS, Jawatankuasa Pengurusan Wang Zakat yang turut dianggotai oleh pegawai dari Lembaga Zakat Selangor telah dibentuk untuk memastikan pengagihan yang dibuat adalah secara teratur mengikut lunas-lunas hukum syarak yang ditetapkan.
  1. Diharapkan agar semua pihak dapat terus memberikan sokongan serta doa buat kemajuan PKNS agar dapatlah kami meneruskan pelaksanaan program-program CSR seumpama ini hasil daripada keuntungan tahunan yang telah dijana.
  1. Saya juga berharap agar sumbangan yang disampaikan pada hari ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan sebaiknya untuk kebaikan bersama serta objektif sumbangan dana ini dapat dicapai sekaligus menyemarakkan lagi semangat kami untuk terus menyumbang kepada masyarakat di Negeri Selangor.
  1. Sekali lagi, saya ucapkan terima kasih kepada pihak Pembangunan Sosial MAIS dan Jawatankuasa Pemandu Penyelarasan Program Jalinan Kasih Orang Asli Negeri Selangor di bawah pimpinan Yang Berbahagia Tuan Haji Shahir Bin Makhtar serta sekalung ucapan tahniah dan syabas diucapkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung yang telah memberikan kerjasama erat sehingga dapat kita realisasikan majlis pada hari ini.
  1. Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

HAJAH SITI ZUBAIDAH BINTI ABDUL JABAR

Comments are closed.